Proses jual rumah

Dalam artikel Menentukan Harga Jual Rumah saya bercerita tentang bagaimana caranya anda boleh menetapkan harga untuk rumah yang anda nak jual. Sekarang saya sambung langkah-langkah atau proses seterusnya.

Apabila anda sudah menetapkan harga yang munasabah untuk rumah anda, anda boleh lantik agen hartanah untuk melakukan tugas menjual. Menjual rumah bukanlah kerja yang senang dan biasanya mengambil masa. Lebih baik serahkan kerja itu kepada mereka yang mahir dan profesional. Jumlah komisyen yang agen layak dapat memang padan dengan kerjanya.

Ada dua cara untuk melantik agen hartanah. Yang pertama, lantikan secara eksklusif. Lantikan jenis ini bermaksud anda hanya memberi hak kepada agen tersebut saja untuk menjual rumah anda. Jika ada orang lain ingin menjual, dia perlu merujuk kepada agen yang anda telah lantik secara eksklusif itu – termasuk diri anda sendiri.

Lantikan hak menjual eksklusif biasanya terhad untuk tempoh tertentu. Jika dia gagal menjual dalam tempoh itu, maka lantikan dan hak itu tamat. Kalau anda fikir melantik ramai agen lebih baik dari sekadar melantik seorang agen secara eksklusif, anda boleh memilih melantik agen secara ad-hoc. Maknanya anda beri kebenaran kepada mana-mana agen yang nak menjual. Siapa jual dulu, dia dapat.

Sebagai penjual, anda perlu diwakili oleh seorang peguam dalam semua urusan jual beli rumah anda. Ramai yang menganggap penjual dan pembeli boleh berkongsi peguam yang sama. Lebih mudah katanya. Tetapi undang-undang sebenarnya tidak membenarkan seorang peguam mewakili kedua-dua belah pihak dalam satu urusniaga. Oleh itu carilah peguam anda sendiri untuk mewakili anda.

Perkara seterusnya adalah, rumah yang anda ingin jual mestilah boleh dilawati prospek pembeli. Samada anda tinggal di rumah itu atau ada penyewa yang tinggal di dalamnya, ia mesti dibenar dilawat. Jika ada penyewa, beritahu penyewa mengenainya. Anda atau penyewa boleh tetapkan hari atau masa tertentu kepada agen jika dia nak datang bawa prospek.

Prospek pembeli rumah subsale pasti nak buat lawatan untuk memeriksa keadaan rumah sebelum mereka dapat buat keputusan nak beli atau tak.

Kemudian benarkan agen mengambil gambar-gambar luar dan dalam rumah supaya dia boleh iklankan rumah itu dengan berkesan. Budaya sekarang, prospek menyemak rumah-rumah untuk dibeli melalui internet. Gambar-gambar yang lengkap dan cantik dapat membantu penjualan rumah anda.

Jika agen membawa prospek melawat rumah dan anda ada di rumah ketika itu, biarkan agen anda melakukan kerjanya tanpa gangguan kecuali jika prospek bertanya kepada anda secara direct. Agen hartanah itu melakukan kerja bagi pihak anda. Jadi berilah ruang untuk dia berunding dengan bakal pembeli dengan selesa dan berkesan.

Jika prospek pembeli berminat dengan rumah anda, biasanya dia akan cuba berunding tentang diskaun atau pengurangan harga. Gunakan sepenuhnya kedudukan agen anda untuk mendapat harga yang terbaik.

Berunding secara terus boleh menyebabkan anda dipengaruhi faktor emosi, sentimen dan sebagainya. Agen anda tak akan terlibat dalam hal seperti itu. Dia hanya akan merunding harga yang anda tetapkan.

Apabila prospek setuju membeli biasanya soal pembiayaan telah diselesaikan. Agen akan minta pembeli menandatangani Surat Tawaran Membeli.

Surat ini mencipta jaminan bagi kedua-dua pihak. Bagi pembeli ia menjamin anda tidak menawarkan rumah itu kepada pihak lain dan bagi anda pula, ia menjamin pembeli supaya memuktamadkan pembeliannya. Deposit sebanyak 2 – 3 peratus biasanya dibayar bakal pembeli apabila menandatangani surat ini.

Seterusnya peguam akan menyediakan dokumen Perjanjian Jual Beli. Perjanjian Jual Beli perlu ditandatangani dalam tempoh 14 hari dari tarikh Surat Tawaran Membeli. Pembeli perlu melunaskan bayaran 10% dari harga rumah semasa menandatangi Perjanjian Jual Beli.

Anda akan menerima baki bayaran harga rumah selepas pihak bank melepaskan wang pinjaman pembeli jika dia menggunakan pembiayaan bank. Bank hanya melepaskan bayaran selepas Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Selepas menerima bayaran, anda perlu membayar Cukai Keuntungan Harta Tanah yang ditetapkan kerajaan. Cukai hanya perlu dibayar jika anda mendapat untung dari jualan berkenaan dan kadarnya berbeza mengikut jumlah tahun anda telah memiliki rumah itu.

Join The Discussion

Compare listings

Compare