Memahami Debt Service Ratio

  • by Nazli Bangihomes (REN 52998)
  • Kewangan
  • 1

Debt Service Ratio (DSR) atau Nisbah Khidmat Hutang bermaksud nisbah bayaran atau komitmen hutang bulanan seseorang berbanding pendapatan bulanannya. Ini adalah satu formula yang sangat penting untuk diingati dan difahami oleh seseorang yang merancang nak beli rumah di masa depan.

Pengiraan DSR mengambilkira komitmen hutang bulanan sedia ada yang perlu dibayar setiap bulan dicampur dengan komitmen hutang baru yang sedang dipohon jika ia diluluskan.

Sebagai contoh, jika sekarang setiap bulan dah kena bayar ansuran kenderaan, PTPTN, personal loan, ASB loan, bayaran minimum kad kredit atau mungkin juga pinjaman rumah sedia ada dan sebagainya, maka pengiraan DSR untuk permohonan hutang baru akan mencampurkan jumlah bayaran bulanan hutang baru itu sekali sebelum jumlah keseluruhannya di bahagi dengan jumlah pendapatan.

Bagi seseorang yang berpendapatan bersih kurang RM3,000 sebulan, DSR mestilah 60% atau kurang untuk permohonan pinjamannya diterima. Dan bagi yang berpendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan, DSR tak boleh melebihi 70%. Walaupun begitu kadar-kadar ini hanya petunjuk umum sahaja dan bank yang berlainan mungkin menetapkan nisbah kelayakan yang agak berbeza di antara satu dengan yang lain bergantung kepada faktor-faktor yang mereka ambilkira.

Kita tengok satu senario. Ali bergaji bersih RM4,000 setiap bulan. Beliau ingin membeli sebuah rumah yang ansuran bulanannya RM1,200. Katakan komitmen bulanan Ali yang sedia adalah seperti berikut;

Bayar PTPTN:  RM300
Bayar ansuran kereta: RM800 
Bayaran kad kredit: RM200 
Maka, jumlah khidmat bulanan hutang sedia ada: RM1,300 

Maka DSR Ali akan dikira begini:

Ansuran bulanan rumah yang nak dibeli (Pinjaman baru yang sedang dipohon): RM1,200 
Jika diluluskan pinjaman baru ini, khidmat hutang bulanannya akan jadi: RM1,300 + RM1200 = RM2,500 
Kiraan DSR Ali: Jumlah khidmat hutang bulanan bahagi pendapatan bersih = 2500/4000 
Maka kadar DSR Ali adalah: 62.5%

Oleh itu pada umumnya, DSR Ali layak dapat pinjaman untuk beli rumah yang diinginkan kerana DSR beliau hanya 62.5%.

(Note: Hanya bank yang boleh menentukan samada Ali benar-benar layak diberi pinjaman itu kerana ada faktor-faktor lain yang bank akan tengok sebelum mereka membuat keputusan. Kalau rekod Ali sebagai peminjam untuk hutang-hutang sedia adanya kurang cantik, misalnya selalu tertunggak atau lewat bayar, mungkin bank akan tolak permohonan pinjamannya walaupun DSR beliau di bawah 70%. Atau bank akan nasihatkan beliau supaya “mencantikkan” rekod bayaran terlebih dulu dan tunggu beberapa lama sebelum cuba buat permohonan semula).

Andai kata kiraan DSR Ali melebihi 70%, beliau masih boleh cuba kurangkan kadar itu. Antaranya beliau boleh selesaikan mana-mana hutang yang mampu beliau selesaikan atau beli rumah yang lebih murah yang mana bayaran bulanannya tak menyebabkan DSRnya “burst”.

Kesimpulan

Apabila kita faham tentang DSR, maka kita akan lebih berhati-hati dalam urusan kewangan apatah lagi jika kita merancang nak beli rumah di masa depan. Ingat betul-betul, semua hutang yang kita buat sebelum kita beli rumah akan menjadi faktor penting dalam menentukan kelayakan pinjaman perumahan kita nanti.

Misalnya jika kita beli kereta yang bayaran bulanannya tinggi, ia mungkin menyebabkan DSR kita “burst” bila nak beli rumah idaman. Akibatnya kita terpaksa menunggu lebih lama untuk beli rumah atau terpaksa pilih rumah yang lebih murah.

Selain itu tabiat membayar hutang juga harus kita ambil berat. Tabiat membayar yang taat setiap bulan akan memberi kita credit rating yang baik untuk mendapat pembiayaan di masa depan. Sebaliknya jika rekod membayar kita penuh dengan tunggakan, credit rating kita jadi buruk dan bank akan melihat kita sebagai seorang yang kurang diyakini untuk diberi hutang.

Bagi orang-orang muda yang seronok memulakan dunia baru sebagai orang dewasa yang bekerja, kefahaman terhadap sistem kredit yang menjadi amalan institusi kewangan amatlah penting. Kegagalan memahami sistem seperti DSR dari awal boleh menyebabkan anda terjebak membuat hutang-hutang yang kurang penting sehingga menjejaskan kelayakan untuk membuat hutang yang lebih penting di masa depan – contohnya, hutang perumahan.

Kredit Imej: Pexels

Next post

Pinjaman perumahan

Join The Discussion

Compare listings

Compare